EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat gerai pameran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pavillion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perluas program agropreneur, galak wanita, belia sertai pertanian moden

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 9 JAN: Selangor berhasrat memperluas program pembangunan agropreneur bagi menggalak golongan wanita dan anak muda mengusahakan pertanian moden.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program itu juga bertujuan melahirkan usahawan tani muda selain membantu pengiat sektor berkenaan menjana pendapatan.

“Kita akan perluas bidang pertanian yang berjaya contohnya projek udang kara air tawar di Hulu Langat dan bagi peluang untuk golongan muda terlibat secara langsung.

“Kita akan himpun projek agropreneur secara berkelompok dengan perluas projek sama di dua lagi daerah baharu kerana mahu tingkatkan penglibatan mereka sebagai agropreneur sekali gus lahirkan kelompok usahawan tani baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

EXCO Pertanian, Izham Hashim meninjau projek ternakan udang kara air tawar ketika Lawatan Kerja di Smaju Agro Ventures, Hulu Langat pada 7 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ir Izham berkata bagi memastikan projek berjaya, pemenang Ikon Agro Selangor akan menjadi mentor kepada kelompok terbabit bagi membolehkan mereka mendapat bimbingan dan pematauan sewajarnya.

Beliau berkata program itu juga bagi merubah persepsi masyarakat bahawa pertanian bukanlah kerja yang kotor, sukar dan panas.

“Pertanian moden ini sebenarnya ‘friendly’ (mesra) untuk wanita, ia mudah dengan bantuan pelbagai teknologi moden.

“Pertanian moden turut menjanjikan pulangan hasil tinggi dan pasaran boleh bertahan. Malah peratusan kegagalan juga rendah,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk agropreneur termasuk latihan, bimbingan malah bantuan dari segi memasarkan produk.


Pengarang :