Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
PBTSELANGOR

Persiaran Bandar Raya di Shah Alam ditutup mulai 24 hingga 29 Januari

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 21 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup sebahagian jalan di Persiaran Bandar Raya bagi persiapan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri bermula 24 sehingga 29 Januari.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan tersebut.

“Bagi mengelak kesesakan lalu lintas pengguna diminta sentiasa mematuhi arahan yang akan diberikan MBSA dari semasa ke semasa.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Korporat  dan Perhubungan Awam MBSA ditalian 03-5522 2734,’’ katanya kepada Selangorkini.

Kerajaan Negeri menganjurkan rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 28 Januari dengan sasaran kehadiran 10,000 tetamu.

Program bermula jam 3.30 petang hingga 10.30 malam diisi dengan pelbagai acara menarik seperti persembahan tarian singa, opera tradisi, wayang kulit, pertandingan kaligrafi selain kemudahan gerai jualan.

Sambutan bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ itu turut menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

Angpau berjumlah RM10,000 turut ditawarkan kepada tetamu yang hadir selain acara cabutan bertuah barangan elektrik bernilai keseluruhan RM3,000.


Pengarang :