ADNSELANGOR

Pertandingan filem pendek tawar hadiah keseluruhan RM10,000

SHAH ALAM, 18 JAN: Golongan belia di bawah 35 tahun berpeluang memenangi pelbagai hadiah dengan jumlah keseluruhan RM10,000 melalui pertandingan filem pendek.

Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pertandingan itu membabitkan kerjasama badan bukan kerajaan The Horizon Fest.

“Pertandingan bertemakan perubahan iklim bertujuan memberi peluang kepada anak muda menghasilkan filem pendek berhubung Malaysia sebagai contoh suasana politik di negara ini dan masa depan yang mereka mahukan.

“Peserta boleh rekod video menggunakan apa sahaja peralatan yang mereka miliki sama ada telefon, tablet atau kamera digital dan video itu mesti berdurasi kurang daripada 15 minit,” katanya ketika dihubungi.

Jamaliah berkata penyertaan boleh mula dihantar menerusi pautan https://www.horizonfest.org/ sehingga tarikh tutup pada 1 Mac ini.

“Saya harap ramai ambil peluang meluahkan ekspresi mereka melalui filem pendek ini demi pembangunan politik Malaysia yang aman damai.

“Semoga pertandingan ini dapat mewujudkan persekitaran dan platform terbaik bagi golongan belia untuk bersuara dalam bentuk pembuatan filem,” katanya.

Syarat penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia dan filem sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh layari laman sesawang horizonfest.org atau Instagram @thehorizonfest atau email [email protected].


Pengarang :