Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin menyapa orang ramai pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMA

Peruntukan RM500,000 laksana projek kecil di DUN Morib

KUALA LANGAT, 21 JAN: Projek Selangor Penyayang peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib mendapat peruntukan RM500,000 pada tahun ini membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata antara projek yang sudah dilaksanakan termasuk membina pagar baharu untuk Dewan Belia Kampung Bandar dan Tabika Kemas Kampung Bandar di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin bercakap kepada Media Selangor pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selain itu, kerja menurap Dataran Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Permatang Pasir.

“Turut dilaksanakan adalah menurap jalan di belakang Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat serta membaik pulih Dewan Orang Ramai Kanchong Darat,” katanya.

Beliau ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Morib di Jalan Desa 4, Taman Sri Desa, di sini hari ini yang menyaksikan kira-kira 300 pengunjung berpeluang berbelanja pada jualan murah itu.

Petugas menyusun pelbagai barangan keperluan asas yang dijual dengan harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :