Orang ramai menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Malaysia menentang Thailand dalam kejohanan Piala AFF 2022 melalui skrin besar di Laman MBPJ, Petaling Jaya.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Piala AFF: 3,000 hadir, tonton perlawanan Malaysia-Thailand di Laman MBPJ

OLEH SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 10 JAN: Lebih 3,000 penyokong hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata walaupun Malaysia tewas, namun rata-rata pengunjung berpuas hati dengan program tayangan skrin besar anjuran MBPJ itu.

“Kita dapat lihat ramai pengunjung bersantai bersama keluarga, bentang tikar, ini satu budaya yang kita nak wujudkan di Petaling Jaya ini,” katanya ketika ditemui.

Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar yang turut hadir mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa tempatan itu atas kejayaan penganjuran tayangan skrin besar berkenaan.

“Saya kira penganjuran (program) ini sangat bermanfaat, dapat beri alternatif kepada penonton yang tidak mampu ke stadium. Tahniah MBPJ,” katanya.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan antaranya pertandingan sepakan tepat, cabutan bertuah, jualan jersi, kendera saji dan persembahan buskers.

Sementara itu, seorang pengunjung Siti Nurmusfirah Rosli, 28, berkata dia teruja dapat menonton perlawanan bersama ribuan penyokong dalam suasana santai.

“Pertama kali hadir, pengalaman menarik dapat menonton (perlawanan) bersama ribuan penyokong dalam suasana santai.” katanya.

Ng Zhi Yen, 23, pula berkata program diadakan memupuk semangat perpaduan dan rakyat bersama-sama hadir memberi sokongan kepada negara.

 


Pengarang :