Pemain tengah negara Stuart John Wilkin (tiga kiri) menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Singapura pada 3 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Piala AFF: Aksi timbal balik, Harimau Malaya cari bekalan selesa ke Thailand

PETALING JAYA, 7 JAN: Skuad Harimau Malaya perlu memburu sebanyak mungkin gol pada saingan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, sebagai bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Bangkok, Selasa depan.

Penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha atau lebih terkenal dengan panggilan Mat Yo, berkata dengan meraih gol yang banyak di sini, akan memberi kelebihan kepada pasukan negara kerana bukan mudah beraksi di Stadium Thammasat.

“Sebab saya tahu skuad Thailand ini majoriti pemain mereka mempunyai pengalaman cukup luas, liga Thailand juga kedudukannya lebih baik daripada kita, jadi saya nasihatkan pemain kita cari gol awal dan bekalan semampu yang boleh untuk ke Bangkok,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Al-Ikhsan Sports x The MESSI Brand di Republik Bola Sepak, Sunway Pyramid semalam.

Dalam pada itu, Norshahrul optimis dengan perancangan ketua jurulatih Kim Pan Gon yang disifatkan penuh taktikal serta berkualiti dan mampu membawa skuad kebangsaan sehingga ke perlawanan akhir piala berprestij itu.

Beliau berkata skuad kebangsaan perlu terus berdisplin dan mengekalkan momentum sedia ada ketika beraksi pada perlawanan malam ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :