Pemain tengah negara Stuart John Wilkin (tiga kiri) menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Singapura pada 3 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Piala AFF: Malaysia tundukkan Singapura 4-1, layak ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Malaysia melangkah ke separuh akhir dengan menyingkirkan musuh tradisinya Singapura, selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 pada perlawanan penentuan Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, malam ini.

Kemenangan di hadapan 65,147 penonton di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya memintas Singapura untuk muncul naib juara kumpulan, selepas mengumpul keseluruhan sembilan mata di belakang Vietnam.

Lebih manis, pasukan negara bukan sahaja memperbaiki rekod buruk terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas, malah turut mengakhiri badi kemenangan berdepan The Lions sejak November 2014, selepas tewas dua dan seri sekali dalam tiga pertemuan terakhir.

Empat gol Malaysia disumbangkan penyerang Darren Lok pada babak pertama, sebelum aksi bertenaga pasukan negara pada babak kedua menyaksikan Malaysia menambah tiga lagi gol menerusi dua jaringan pemain tengah kacukan Malaysia-England Stuart Wilkin, dan pemain naturalisasi Sergio Aguero.

Pada aksi malam ini, pasukan negara mampu mendahului sekurang-kurangnya 2-0 di awal permainan jika tidak kerana penyudah tumpul pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dan pemain pertahanan V. Ruventhiran.

Percubaan Mohamad Faisal dalam kotak penalti selepas menerima hantaran cantik ketua pasukan, Muhammad Safawi Rasid berjaya ditampan Hassan Sunny pada minit kelapan sebelum penjaga gol berpengalaman Singapura itu, menafikan rembatan susulan Ruventhiran.

Mohamad Faisal yang mengumpul tiga gol setakat ini, sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk merobek gawang Singapura yang tampil dengan pendekatan taktikal bertahan, apabila percubaannya dari jarak dekat pada minit ke-17, tepat ke Hassan yang mudah menepis bola keluar.

Tindakan pemain Singapura melengah-lengahkan masa akhirnya membawa padah, apabila mereka dihukum dalam satu serangan pantas yang menyaksikan hantaran lintang Muhammad Safawi dari sebelah kanan, tepat ke kepala Darren untuk gol pertama Malaysia pada minit ke-35.

Menyedari kelebihan satu jaringan tidak cukup, Malaysia menggandakan kedudukan lima minit selepas rehat berpunca kesilapan penyerang gantian Singapura Shawal Anuar menahan bola dan dipintas Wilkin untuk melepaskan rembatan kencang dari luar kotak yang gagal ditampan kemas Hassan.

Empat minit kemudian, pemain Sabah FC itu sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua peribadinya selepas mengawal bola hantaran Muhammad Safawi dalam kotak penalti dengan baik, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menyaksikan Hassan tertewas buat kali ketiga.

Ketinggalan tiga gol, Singapura di bawah bimbingan Takayuki Nishigaya baru tampil dengan taktikal menyerang dalam usaha memburu gol dan situasi itu jelas menyaksikan beberapa percubaan berbahaya berjaya dicipta sebelum berjaya meledak gol saguhati menerusi Faris Ramli pada minit ke-85.

Namun, Aguero memastikan Malaysia melangkah ke separuh akhir dengan bergaya apabila melengkapkan kemenangan 4-1 pasukan hasil penyudah dari luar kotak penalti pada minit ke-88.

Kejayaan dicipta pasukan negara malam ini ibarat ulangan pertemuan kedua-dua pasukan pada edisi 2014 di Stadium Nasional Singapura yang menyaksikan Malaysia menang 3-1 sekali gus memintas skuad tuan rumah untuk menempah tempat ke peringkat separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.

Pada aksi separuh akhir, Malaysia dijadual menentang Thailand selaku juara Kumpulan A, manakala Vietnam akan membuat perhitungan berdepan naib juara Kumpulan A Indonesia.

Vietnam menewaskan Myanmar 3-0 pada satu lagi aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sekali gus mengumpul 10 mata, sementara Malaysia kedua (sembilan mata), Singapura ketiga (tujuh mata) manakala Myanmar dan Laos tercorot dengan berkongsi satu mata. – BERNAMA

 


Pengarang :