Pasukan bola sepak melakukan sesi panas badan sebelum sepak mula pada Majlis Perasmian Penganjuran Kejohanan Piala Budak Kampung 2023: Liga Akar Umbi Daerah Petaling di Stadium Mini Paya Jaras, Sungai Buloh pada 14 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Piala Budak Kampung medan pemain timba pengalaman, gilap bakat

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Kejohanan Piala Budak Kampung daerah Petaling di Stadium Mini MBSA Paya Jaras di sini menjadi medan terbaik buat setiap pasukan menimba pengalaman sebelum beraksi ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut jurulatih pasukan bola sepak 786 Sungai Buloh FC (bawah 12) Syed Mohammad Ali Hassainar, 38, kejohanan dua hari itu dimanfaatkan sebaiknya untuk menguji kemampuan pasukannya setelah giat berlatih selama enam bulan.

“Kita (pemain) telah berlatih selama enam bulan, ini merupakan kejohanan keempat sejak pasukan ini ditubuhkan dua tahun lalu.

“Secara jujur, program ini sangat bagus dan idea yang baik. Kami juga dapat mencari pasukan lawan untuk mengadakan perlawanan persahabatan selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kejohanan berkenaan semalam.

Jurulatih Sekolah Kebangsaan Damansara, Yusof Shah, 46, pula menjadikan kejohanan ini sebagai peluang kepada pelajar yang tidak mendapat tempat mewakili pasukan sekolah untuk mempamer bakat.

“Kita pilih pemain yang tidak mewakili pasukan sekolah supaya berpeluang mempamer bakat mereka. Harapan saya agar program seumpama ini diteruskan.

“Selain memberi pendedahan, pemain juga dapat beraksi tanpa tekanan,” katanya yang turut berharap kejohanan seperti ini dapat diperluaskan lagi.

Sementara itu, Zainida Sulaiman, 53, tidak meletak sebarang sasaran kepada pasukan bola jaringnya kerana mahu pemain menimba pengalaman dan keserasian sebelum beraksi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita tidak letak sasaran apa-apa, lebih kepada untuk mencari pengalaman dan membentuk keserasian pasukan. Kami memasang impian untuk beraksi ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini,” katanya yang membawa pasukan Santai Hijauan B (Sekolah Rendah) dan Hijauan U5 (kategori remaja) dalam kategori bola jaring 3 lawan 3.

Kejohanan Piala Budak Kampung daerah Petaling berlangsung dua hari sejak semalam disertai lebih 200 pasukan bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM8,800.

Kejohanan siri keempat mempertandingan acara bola sepak (bawah 10 dan 12), sepak takraw (bawah 18) dan bola jaring (terbuka).

Peserta sepak takraw beraksi pada Kejohanan Piala Budak Kampung 2023: Liga Akar Umbi Daerah Petaling di Stadium Mini Paya Jaras, Sungai Buloh pada 14 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :