AGENDANASIONALSUKANKINI

Piala H.M.S Malaya dipamer di Muzium Negara sehingga 31 Januari ini

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Dua piala H.M.S Malaya keluaran 1921 di London, simbolik kepada kisah perjalanan sukan bola sepak dan ragbi di Malaysia dapat dilihat secara dekat menerusi Pameran 100 tahun Trofi H.M.S Malaya di Muzium Negara yang sedang berlangsung sehingga 31 Januari ini.

Kurator Bahagian Pengurusan Konservasi Jabatan Muzium Malaysia Muhammad Faiz Azizan berkata Muzium Negara bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikan piala yang merupakan koleksi tunggal berada dalam keadaan terpelihara.

Menurutnya, antara lain menerusi pelbagai kajian dan langkah konservasi dijalankan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dalam menentukan kesahihan, kerosakan, keaslian bahan selain menilai struktur pada trofi berkenaan.

Beliau berkata proses konservasi dijalankan terbahagi kepada dua iaitu preventif dan kuratif, meliputi aspek suhu, kelembapan bandingan dan agen deteriorasi yang dilakukan secara berjadual bagi memastikan koleksi itu berada dalam keadaan kondusif untuk diperagakan.

“Artifak berasaskan logam perak selalunya menghadapi kakisan yang menghasilkan satu lapisan teroksida berwarna kelabu di atas permukaannya dikenali sebagai tarnish (sebam).

“Oleh itu, konservasi kuratif bagi logam perak ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pembersihan, pengilatan dan perlindungan trofi,” katanya.

Muhammad Faiz berkata bagi penentuan keaslian bahan serta penilaian kekuatan struktur pada trofi pula, ia menggunakan teknik nuklear seperti X-Ray Fluorescence (XRF), Pengaktifan Neutron Sinar Gama Pantas (PNSGP), pengimejan neutron, radiografi dan teknik Eddy Current.

“Kajian pencirian bahan seperti XRF dan Eddy Current berjaya membuktikan bahan koleksi dua trofi H.M.S Malaya ini asli dan diperbuat daripada aloi perak dan argentum manakala kajian pengimejan seperti radiografi dan pengimejan neutron pula memberikan gambaran nyata tentang kaedah cantuman pada tangkai dan badan trofi,” katanya.

Menyingkap sejarah artifak tersebut, beliau berkata kedua-dua piala itu diperoleh selepas kunjungan kali pertama kapal perang berperisai British dinamakan Her Majesty’s Ship (H.M.S) Malaya sempena menghargai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di Malaya yang membiayai pembinaan kapal tersebut, berlabuh di Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) pada 1921.

“Sebagai penghargaan, Komander H.M.S Malaya ketika itu, Kapten HT Buller menyumbangkan dua piala H.M.S Malaya kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu untuk dipertandingkan dalam sukan ragbi dan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata trofi berprestij berkenaan digunakan 46 tahun dalam perlawanan bola sepak dan 65 tahun bagi sukan ragbi sebelum digantikan dengan Piala Malaysia dan Piala Agong.

Muhammad Faiz berkata Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyerahkan piala dengan ketinggian 73.7 sentimeter (cm) itu kepada Pengarah Muzium Negara Datuk Sharum Yub pada 19 Februari 1968.

Piala H.M.S Malaya bagi sukan ragbi yang mempunyai ketinggian 57.8 cm pula diserahkan kepada Muzium Negara oleh penaung Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) Sultan Haji Ahmad Shah pada 9 Ogos 1986.

Mengenai pameran tersebut, Mohamad Faiz berkata ia menerima sambutan sangat memberangsangkan dan setakat ini menerima 81,338 pelawat sejak pameran dibuka pada 1 November lepas.

“Keunggulan trofi ini diterjemahkan melalui pameran kepada masyarakat supaya nilai sejarah pada kedua-dua trofi ini dapat ditatap dan dihayati setiap lapisan masyarakat kerana melalui sukan, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama dapat disatukan,” katanya sambil memberitahu piala itu pernah dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 November 2021.

Pameran itu turut menampilkan koleksi daripada pengumpul dalam bidang sukan berkaitan seperti tiket perlawanan akhir trofi H.M.S Malaya pada 1953 dan logo pertama Persatuan Bola Sepak Amatur Singapura 1929.

Selain itu, logo pertama Persatuan Bola Sepak Malaya 1939 dan Buku Peraturan Persatuan Bola Sepak Malaya serta koleksi pakaian pemain termasuk milik Allahyarham Mokhtar Dahari yang pernah dipakainya semasa Sukan Semenanjung Asia Tenggara atau Sukan SEAP 1973.

– BERNAMA


Pengarang :