EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail (depan, tengah) bergambar bersama ahli Persatuan Worldwide Industrial , International Strategic Institute, Persatuan Usahawan Cina KL dan Selangor dan SME Bangsa Cina selepas menerima kunjungan di Yayasan Hijrah Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pinjaman Hijrah untuk semua kaum, peniaga diminta manfaat bantuan

SHAH ALAM, 13 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan pinjaman modal kepada semua peniaga terutama usahawan industri kecil dan sederhana bagi membantu mengembangkan produk.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata semua skim terbuka kepada peniaga tanpa mengira kaum dan agama namun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Pada awalnya Hijrah menawarkan pinjaman dengan jumlah kecil dan kini mencecah RM100,000. Alhamdulillah ramai yang sudah diberi peluang dan matlamat kita memang mahu rakyat terima manfaat ini.

“Kita mahu lihat rakyat berbilang kaum menikmati bantuan ini. Selangor amalkan satu konsep untuk semua dan harap semua peniaga akan meraih peluang ini,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah menerima kunjungan deligasi Pertubuhan Industri Sedunia dan Institut Strategik Antarabangsa di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Dalam majlis yang berlangsung lebih dua jam itu, kira-kira 50 peserta deligasi berkenaan mendengar penerangan lanjut berhubung skim ditawarkan Hijrah.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Hijrah membantu 55,834 usahawan melibatkan belanja RM710 juta setakat November lalu merangkumi modal perniagaan serta membesarkan perusahaan.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 25 November tahun lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.


Pengarang :