Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (kanan) bertukar dokumen bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Bank Muamalat di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKNS-Bank Muamalat meterai MoU, buka peluang lebih ramai miliki rumah

SHAH ALAM, 11 JAN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bank Muamalat hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang membuka peluang kepada lebih ramai untuk memiliki kediaman.

Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata Bank Muamalat menawarkan pembiayaan akhir kepada pelanggan PKNS melibatkan projek perumahan pelbagai kategori termasuk rumah mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Bank Muamalat di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sememangnya menjadi hasrat PKNS untuk meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama,” kata Dato’ Mahmud Abbas selepas majlis menandatangani MoU berkenaan.

Majlis yang berlangsung di Restoran SACC Kelana Seafood di sini turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin.

Beliau berkata agensi perbankan berkenaan turut menawarkan khidmat nasihat pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad.

“Manakala, bagi segmen perniagaan akan disediakan khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti untuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang melibatkan vendor dan rakan niaga,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Khairul berkata pihaknya sedia memberi penyelesaian dan kemudahan kewangan kepada entiti perniagaan dan individu terutamanya pembeli rumah pertama.

“Pihak bank memahami masalah yang dihadapi oleh pelanggan ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar terutama bagi pembeli rumah pertama.

“Oleh itu, pihak bank sedia memberi penyelesaian dan menyediakan kemudahan kewangan kepada individu dan entiti perniagaan,” katanya.


Pengarang :