Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, Klang pada 17 Januari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS mungkin teruskan jualan hingga Mei, bergantung keputusan MB

OLEH DIANA ABD WAHAB

KLANG, 17 JAN: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mungkin dilanjutkan hingga Mei ini bergantung kepada keputusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengurus Komunikasi Strategik PKPS Noor Azreena Abdul Aziz berkata inisiatif Jelajah Ehsan Rakyat (JER) fasa dua yang bermula semalam menerima sambutan baik daripada orang ramai dan mahu program terbabit diteruskan pada masa depan.

“Program anjuran Kerajaan Negeri ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat berikutan peningkatan mendadak harga barangan ketika ini.

Pengurus Komunikasi Strategik PKPS Noor Azreena Abdul Aziz

“Insya-Allah inisiatif ini akan diteruskan sehingga Mei ini namun ia bergantung kepada keputusan Dato’ Menteri Besar,” katanya ketika ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, hari ini.

Sementara itu beliau berkata ketika ini PKPS tetap menganjurkan jualan murah itu di sembilan lokasi tahun ini seperti tahun lalu.

Jelasnya setakat ini tiada tambahan lokasi memandangkan agensi tersebut hanya memiliki sembilan lori yang akan bergerak pada masa sama ke sembilan lokasi JER yang ditetapkan setiap hari.

“Tambahan lokasi dan produk jualan masih dalam perbincangan dan akan diumumkan kemudian selepas kata putus dicapai pihak pengurusan PKPS.

“Buat masa ini kita kekalkan sembilan lokasi dan tumpu enam produk utama iaitu ayam standard (RM10 seekor), daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10),” katanya.

Tahun lalu jualan murah itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :