Tan Sri Michelle Yeoh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik yang dimenanginya bagi filem “Everything Everywhere All at Once” pada Anugerah Golden Globe ke-80 di Beverly Hills, California pada 11 Januri 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

PM harap anugerah Michelle Yeoh jadi inspirasi seniman suburkan bakat

SHAH ALAM, 13 JAN: Kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi Anugerah Golden Globe boleh menjadi inspirasi buat budayawan dan seniman tempatan, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan itu membanggakan negara dan rakyat terutamanya peminat filem.

“Tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh atas pencapaian tingkat tinggi dalam industri seni perfileman.

“Saya amat berharap pencapaian Tan Sri Michelle ini memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman tempatan untuk terus berkarya dan mencambah bakat kreatif lagi berkualiti,” kata beliau menerusi Facebook hari ini.

Yeoh yang dikenali dunia melalui filem James Bond, menempa sejarah sinema Asia apabila memenangi anugerah berkenaan kelmarin.

Anak Perak itu yang mencipta nama di Hollywood melalui filem Tomorrow Never Dies pada 1997 dicalonkan untuk Everything Everywhere All at Once arahan sutradara Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Kemenangan itu menyaksikan Yeoh mengetepikan aktres Lesley Manville yang membintangi Mrs Harris Goes to Paris, Anya Taylor-Joy (The Menu), Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).

Memegang watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia, Yeoh, 60, menyifatkan pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni sebagai perjalanan menakjubkan.

Golden Globe antara anugerah dunia paling berprestij sebaris Oscar dan Cannes malah baru-baru ini, Yeoh juga diumumkan Ikon Tahun 2022 oleh majalah Time.

Sementara itu Anwar berkata beliau akan menonton filem yang dibintangi Yeoh itu dalam masa terdekat.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Yeoh mewakili seluruh rakyat Malaysia.


Pengarang :