Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM ingatkan pemimpin jangan susahkan rakyat, manfaat kuasa majukan negara

IPOH, 29 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan pemimpin supaya tidak melupakan dan menyusahkan rakyat setelah mendapat kuasa.

Beliau berkata rakyat seharusnya merasai nikmat di negara ini dan bukannya tersepit dalam drama pergaduhan di antara pemimpin termasuk dalam kalangan ahli politik.

“Yang penting negeri kita kena selamatkan, bila saya sebut Malaysia kena diselamatkan (ini) untuk orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan bukan untuk orang atas.

“Negeri ini kaya, hasil banyak tetapi pasal apa orang kaya (kekal) kaya, orang miskin ramai sebab wang yang ada kadang-kadang kontrak dan projek, terlalu banyak ketirisan,” katanya ketika menghadiri Program Sambutan Hari Ponggal 2023 Peringkat Parlimen Tambun, Perak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sempat menitipkan pesanan sambil menyanyikan beberapa lirik lagu bertajuk “Naan Aaniryrtal” oleh M. G. Ramachandran, mengenai kuasa dan rakyat.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia perlu berubah bagi menarik minat pelabur yang seterusnya akan menguntungkan rakyat menerusi tawaran peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di masa hadapan.

“Untuk negara ini, kita memperkenalkan ‘Masyarakat Madani’ kerana ia adalah usaha rakyat biasa untuk bangkitkan negara kita menjadi maju semula.

“Dalam masa sebulan setengah lalu, saya lihat pelabur asing dari China, India, Amerika Syarikat dan Eropah sudah mula datang menunjukkan minat…ini untuk selamatkan rakyat bagi pekerjaan dan pendapatan yang baik, kalau tiada perubahan kita bakal berdepan masalah besar,” katanya.

Perdana Menteri dijadual menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Lost World of Tambun, sebelum merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru, petang ini. – BERNAMA


Pengarang :