Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Malaysia Madani di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Konsep Madani bawa pimpinan, rakyat sedar amanah besar angkat martabat insan

PUTRAJAYA, 19 JAN: Perdana Menteri memaklumkan konsep Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan bukan untuk membuka wawasan atau membina tugu baharu sebaliknya bertujuan membawa pimpinan dan rakyat untuk menyedari amanah besar dalam memartabat insaniah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konsep Madani juga memfokuskan usaha memperkasa ekonomi, budaya berteraskan etika dan akhlak serta nilai kemanusiaan yang diterima pakai semua agama dan aliran.

“Saya bukan berhasrat untuk membuka wawasan atau membina tugu baharu. Saya mahu rakan-rakan pimpinan dan rakyat memahami Madani dengan menginsafi bahawa tanggungjawab mengangkat martabat insan yang tentunya berpaksi kepada keyakinan, akhlak dan tatakelola yang adil dan berkesan.

“Dalam mengungkap Madani ini, kita tekankan pemerkasaan ekonomi, budaya tetapi terasnya adalah nilai, etika dan akhlak serta aspek kemanusiaan yang diterima pakai semua agama serta aliran,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik peluncuran buku Membangun Malaysia Madani selepas menyampaikan amanat di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berucap ketika menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini, Anwar menjelaskan Madani bukanlah istilah baharu sebaliknya telah disebut lama oleh pemikir-pemikir terkemuka.

“Apabila negara dipacu untuk maju, kadang kala ia tercemar dengan salah laku, rasuah dan meruntuhkan nilai. Oleh demikian, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan kita untuk hidupkan semula kekuatan leluhur bangsa.

“Dengan konsep Madani ini, semua kaum dan agama negara ini ada nilai-nilai murni yang harus dihidupkan dan dikembangkan sementara bergelut dengan ekonomi, teknologi digital. Kita pacu pertumbuhan tetapi jangan tinggalkan nilai dan kemanusiaan,” katanya.


Pengarang :