Aliran trafik menghala ke ibu kota sesak selepas Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan jumlah kenderaan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung sempena Hari Raya Aidilfitri di Gombak pada 6 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM umum pengecualian tol selama dua hari sempena Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA, 18 JAN: Pengecualian bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara melibatkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pengecualian bayaran tol selama dua hari itu akan melibatkan peruntukan RM40 juta.

“Berita baik, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan (sudah) adakan perbincangan dengan syarikat pengendali lebuh raya bagi ditiadakan (bayaran) tol pada 20 dan 21 Jan ini.

“Ini bagi memudahkan rakyat bukan hanya berbangsa Cina tetapi juga Melayu dan India untuk pulang bercuti,” kata beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari ini.

Anwar turut menitipkan pesanan agar mereka yang pulang bercuti supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan. – BERNAMA


Pengarang :