Gedung tekstil terkemuka Jakel di Seksyen 7, Shah Alam terbakar dalam kejadian pada 1 Januari 2023. Foto BOMBA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Polis: Jangan buat spekulasi punca kebakaran Wisma Jakel

SHAH ALAM, 2 JAN: Polis meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan punca insiden kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7, di sini yang berlaku pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketika ini pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.

“Pihak polis pohon orang awam (netizen) tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini.

“Kita kena hormati perasaan mereka yang alami kerugian serta pekerja-pekerja yang hilang sumber pendapatan akibat insiden ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai beberapa dakwaan di media sosial kononnya kebakaran di gedung tekstil terkemuka itu adalah disengajakan.

Beliau berkata setakat ini polis belum menerima laporan berkaitan perkara tersebut (sengaja dibakar) daripada mana-mana pihak.

Katanya tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemilik premis sekiranya laporan siasatan bomba membuktikan perkara sebaliknya.

Gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi semalam dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi.

Susulan itu bomba Selangor hari ini menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden kebakaran di Wisma Jakel itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata syarikatnya mengalami kerugian awal yang dianggarkan hampir RM100 juta.

– BERNAMA


Pengarang :