Polis meminta bantuan orang ramai mengesan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, yang dilaporkan hilang di universiti itu sejak 13 Januari 2023. Foto Facebook Polis Daerah Serdang
AGENDAJENAYAH

Polis mohon bantuan orang ramai kesan penuntut UPM hilang

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang di universiti itu sejak Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata pelajar itu Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, beralamat di Bilik Asrama, Blok Delima, Kolej Canselor, UPM, Serdang.

Beliau berkata bapanya membuat laporan polis Isnin lepas dan sebelum kehilangan pelajar itu, bapa mangsa ada menghubungi anaknya untuk bertanyakan khabar namun tiada sebarang maklum balas diterima pada hari sama.

“Bapanya menghubungi Mohd Irfan pada 9 pagi tetapi tiada jawapan. Pada hari sama, jam 2 petang, bapanya meminta bantuan adiknya (adik kepada bapa mangsa iaitu pakcik mangsa) yang tinggal berdekatan UPM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Adik kepada bapa mangsa telah menghubungi rakan sebilik Mohd Irfan yang hanya dikenali sebagai Oh (pelajar jurusan Pengajian Pengguna UPM) dan menjelaskan anaknya itu dilihat kali terakhir semasa hendak pergi solat Jumaat menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 bernombor pendaftaran RAC 5095,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, Mohd Irfan masih belum pulang ke rumah atau balik ke bilik penginapan di UPM serta masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga.

Anbalagan berkata Mohd Irfan mempunyai kad pengenalan bernombor 011113-10-0213, berketinggian 171 sentimeter, berat 65 kilogram dan mempunyai nombor telefon 013-6831710.

“Mohd Irfan berkulit cerah, kurus, rambutnya tebal dan lurus, memakai cermin mata dan tidak mempunyai sebarang parut atau tatu pada badannya,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Mohd Irfan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Kipli Rajak di talian 019-6177188 atau mana-mana balai polis berdekatan.

– BERNAMA


Pengarang :