Dron dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan untuk mengesan para pemandu yang menggunakan lorong kecemasandi Kilometer (KM) 365.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Utara pada 1 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis pantau lalu lintas musim perayaan guna dron

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) untuk memantau pergerakan lalu lintas dalam Op Selamat 19, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata pasukan itu ditempatkan di sektor lebuh raya utara, timur dan selatan bagi membantu polis memantau keadaan lalu lintas di lokasi titik panas yang dikenal pasti.

“Penempatan pasukan dron akan memudahkan segala input disalurkan dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar segala tindakan diambil segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mulai hari ini dijangka 170,000 kenderaan berada di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak; 60,000 di Lebuhraya Pantai Timur 1 manakala dua juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan.

“PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya,” katanya.

Mat Kasim turut mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas bagi memastikan tiada sebarang tragedi berlaku pada musim perayaan ini.

“PDRM sentiasa komited dalam memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :