Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 7 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Polis tahan empat lelaki, rampas rokok seludup bernilai lebih RM10 juta

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Polis merampas sebanyak 143,950 karton rokok tidak bercukai bernilai RM10,864,000 dari sebuah stor di Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 12.15 tengah hari itu turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun yang bertindak sebagai transporter dan penjaga stor.

“Hasil serbuan, polis merampas 122,750 karton rokok jenama La Black dan 21,200 karton rokok jenama La Light yang tidak bercukai kastam. Turut dirampas sebuah Perodua Myvi dan dua lori jenis Mitsubishi dan Datsun.

“Rokok ini ditempatkan di stor berkenaan dan ia akan dihantar ke mana-mana rangkaian atau kedai oleh suspek setelah mendapat permintaan daripada penjual melalui aplikasi media sosial,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata sumber bekalan rokok itu juga sedang disiasat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang akan menentukan nilai rampasan selepas cukai.

“Siasatan awal mendapati keempat-empat suspek yang kini direman sehingga 23 Januari ini mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut sejak Januari tahun lepas. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :