Pustaka Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PPAS azam jadikan perpustakaan rumah kedua kepada masyarakat

SHAH ALAM, 1 JAN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) beriltizam untuk terus menjadi nilai tambah kepada masyarakat dalam usaha membudayakan ilmu.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata ia seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri yang mengutamakan pendidikan bagi menjana pendapatan.

“Pada tahun ini, kami berharap semua 104 perpustakaan berfungsi dengan lebih baik dan menjadi rumah kedua kepada masyarakat.

“Walaupun ia hanya sebuah perpustakaan, tidak kira di desa atau di mana jua, nilai tambahnya adalah sangat besar dan penting kepada sesebuah komuniti,” katanya kepada Selangorkini.

Mastura berkata PPAS akan merasmikan empat perpustakaan yang sudah siap dinaik taraf pada tahun ini, iaitu di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Tanjung Karang, dan Hulu Langat.

Menurutnya dua lagi perpustakaan iaitu di Sepang dan Kuala Selangor akan memulakan pembinaan dan naik taraf pada tahun ini.

Kerajaan Selangor melaksanakan penjenamaan semula semua perpustakaan awam secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pengunjung gedung ilmu tersebut.

Sebanyak 65 daripada 104 perpustakaan awam seluruh negeri selesai dinaik taraf sejak 2016 dan usaha tersebut antara lain bertujuan membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :