Kanak-kanak Orang Asli tekun mengikuti pembelajaran dalam talian menggunakan tablet di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Hulu Yam, Gombak pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS hasrat perluas skim pinjam komputer di 30 perpustakaan lagi

SHAH ALAM, 1 JAN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berhasrat melebarkan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas) di 30 perpustakaan lagi.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata setakat ini sebanyak 50 perpustakaan sudah menyediakan skim tersebut sejak dilancarkan pada Ogos lalu.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad bercakap kepada Media Selangor ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita berhasrat untuk tambah lagi dalam 30 perpustakaan yang tawarkan Sepintas. Sekarang ia baru diperingkat cadangan kepada Kerajaan Negeri.

“Secara dasarnya Kerajaan Negeri amat menyukai projek ini kerana ia lebih praktikal, terutamanya kepada pelajar,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Mastura berkata setiap perpustakaan yang menawarkan Sepintas akan menyediakan 10 komputer meja dan 10 komputer riba untuk pinjaman selama tiga bulan.

Beliau menjelaskan PPAS mengkhususkan pinjaman komputer meja kepada pelajar sekolah dan komputer riba kepada mahasiswa, selain mengutamakan keluarga B40 sebagai syarat utama.

Dato’ Menteri Besar melancarkan Sepintas pada 2 Ogos lalu bagi mengurangkan kesenjangan digital dalam kalangan pelajar B40.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu turut menyediakan jaringan internet, perisian terkini selain kerusi dan meja untuk keselesaan peminjam.


Pengarang :