AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS: Khidmat pinjam buku BooksFly2U terus beroperasi, mudahkan peminjam

SHAH ALAM, 16 JAN: Perkhidmatan meminjam buku melalui BooksFly2U masih dijalankan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata BooksFly2U adalah inovasi perpustakaan yang mengadaptasi norma baharu dan ia masih lagi relevan.

“Ia memberi kemudahan kepada ahli untuk mengakses koleksi perpustakaan.

“Perkhidmatan ini memberi manfaat kepada pengguna yang mengalami kesukaran pengangkutan seperti suri rumah, warga emas atau pesara, malah pelajar yang memerlukan bahan bacaan di rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad bercakap kepada Media Selangor ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mastura berkata perkhidmatan BooksFly2U juga dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Ke-87 Persekutuan Antarabangsa Persatuan dan Institusi Perpustakaan (IFLA): Perpustakaan Dunia dan Kongres Maklumat (WLIC) di Dublin, tahun lalu.

“Sejak 2020 hingga tahun lalu 6,520 naskhah buku dipinjam melalui perkhidmatan ini.

“Pengguna perpustakaan hanya perlu membuat pesanan melalui aplikasi Whatsapp ke nombor 010 8491448 atau panggilan telefon ke 03 55197667 dan menyatakan judul buku yang hendak dipinjam.

“Seterusnya petugas perpustakaan akan mendapatkan buku tersebut dalam tempoh dua hari dan mengaturkan penghantaran buku menggunakan khidmat e-hailing pilihan pengguna ke alamat yang ditetapkan dengan caj penghantaran ditanggung peminjam,” katanya.


Pengarang :