Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan JPM di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya 16 Januari 2023. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Presiden AS puji demokrasi di Malaysia, mahu perkukuh hubungan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerka Syarikat Joe Biden, yang turut memuji kehebatan demokrasi Malaysia yang dipamerkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas.

Anwar berkata Presiden Amerika Syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, termasuk dalam bidang ekonomi digital, krisis cuaca, dan sekuriti tenaga.

“Saya berharap untuk dapat bekerjasama dengan beliau (Biden) bagi manfaat bersama seluruh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini, dan beliau yang turut memuat naik ucapan tahniah daripada Biden itu.

Biden dalam nota bertarikh 24 Jan berkata demokrasi di seluruh dunia ketika ini berhadapan dengan cabaran baharu yang belum pernah ditempuhi sebelum ini, dan pilihan raya di Malaysia menunjukkan bahawa demokrasi boleh membawa kejayaan.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia telah bangkit bersuara – mengundi dalam pilihan raya umum, ramai juga yang mengundi buat pertama kali.

“Penglibatan sivik adalah asas kepada masyarakat bebas serta terbuka, dan rakyat Malaysia memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia dengan komitmen mereka untuk melaksanakan kebebasan asas yang dinikmati,” katanya.

Biden turut menegaskan bahawa hubungan antara kedua-dua negara dibina di atas asas kukuh ekonomi yang sentiasa berkembang, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat, yang turut membantu mengukuhkan kebebasan, keselamatan serta kemakmuran di Indo-Pasifik.

“Pada tahun-tahun akan datang, saya berharap untuk memperkukuhkan lagi perkongsian kami – termasuk bekerjasama untuk membina pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan rantaian bekalan yang berdaya tahan melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

“Bersama, kita boleh majukan wilayah yang bebas, terbuka, selamat dan makmur – yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” tambahnya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 Nov lepas.

– BERNAMA


Pengarang :