Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merangkap Pengarah Pilihan Raya Pusat, Rafizi Ramli berucap ketika Konvensyen Pilihanraya Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 14 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: HARAPAN yakin pertahan 40 kerusi DUN Selangor

SHAH ALAM 14 JAN: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin mampu mempertahankan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata gabungan itu memiliki kelebihan berdasarkan pengaruh selain keupayaan memperbaiki situasi ekonomi dalam tempoh empat atau lima bulan menjelang PRN.

“Melihat data awal sebelum dapat data rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP), kita sepatutnya boleh mempertahankan 40 kerusi. Dari segi margin untuk (HARAPAN) mempertahankan Selangor itu agak besar dan selesa.

“Sasaran kita supaya boleh dapat antara 45 ke 47 kerusi, tetapi untuk HARAPAN mengekalkan 40 kerusi itu agak mudah kerana tanda-tandanya yang paling kuat menyokong dan menerima realiti kerajaan perpaduan ialah penyokong HARAPAN terutama di kawasan bandar serta separa bandar.

“Insya-Allah kita akan mempertahankan Selangor dengan bergaya dan mengejutkan PN (Perikatan Nasional) sebab kita tahu bagaimana untuk menangani kemarahan rakyat. Tetapi kita pun taknak selesa, sebab itu kita nak bermula awal (persediaan),” kata Rafizi Ramli hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas Konvensyen PRN KEADILAN Selangor di Pusat Konvensyen Ideal di sini, pengarah Pilihan Raya Pusat sukar meramalkan jumlah undi Barisan Nasional (BN) yang boleh dipindahkan kepada HARAPAN.

“Risiko yang kita belum tahu lagi ketidaktentuan berapa banyak undi Umno boleh dipindahkan kepada HARAPAN… tak berapa banyak, sama ada pengundi HARAPAN akan menyokong HARAPAN atau HARAPAN (menyokong) BN.

“Saya pun faham kedudukan untuk menerangkan kepada akar umbi itu lebih rumit kepada Umno-BN berbanding HARAPAN. HARAPAN memang agak mudah untuk yakinkan akar umbi, malah akar umbi memang menerima baik cadangan dan realiti ini (kerajaan perpaduan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui rakyat secara asasnya selesa dengan pembentukan kerajaan perpaduan antara HARAPAN dan BN yang dilihat mempunyai kestabilan.

“Cuma adakah ia akan dipindahkan dalam (bentuk) undian, itu kita kena semak. Berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), HARAPAN boleh kekalkan 40 kerusi, tetapi kalau gabungan antara HARAPAN dan BN, HARAPAN berpotensi untuk menang 53 daripada 56 kerusi,” katanya.


Pengarang :