Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media selepas menghadiri Karnival Jualan Prihatin Rakyat Mega di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek jagung bijirin di Kedah berhasil, diproses jadi makanan ayam

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 8 JAN: Projek tanaman jagung bijirin yang diusahakan Kerajaan Negeri di Kedah membuahkan hasil dan mula diproses menjadi makanan ayam dan ruminan.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata projek di atas tanah seluas 300 ekar itu diusahakan sejak lima bulan lalu.

“Bagaimanapun ini adalah projek pemula dan hasil yang diperolehi belum cukup untuk menampung permintaan di Selangor.

“Kita perlu tunggu hasil yang lebih besar melalui dua lagi projek yang sedang dan akan diusahakan di Kuala Langat dan Negeri Sembilan,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Jelas beliau ladang seluas 400 ekar di Kuala Langat sedang dalam proses pembersihan semula setelah dinaiki air ekoran hujan lebat baru-baru ini.

“Manakala projek di atas tanah seluas 300 ekar di Negeri Sembilan pula masih belum dimulakan kerana masih ada perkara yang sedang dibincangkan,” katanya.

Pada 18 Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri melalui PKPS menandatangi memorandum persefahaman dengan Negeri Sembilan bagi melaksanakan projek tanaman jagung bijirin.

Secara keseluruhan, projek di Kuala Langat dan Negeri Sembilan yang menelan kos RM3 juta itu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan ayam dan ruminan di Selangor.


Pengarang :