Exco Infrastruktur Ir Izham Hashim (dua, kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim (kanan) meninjau kerja pembaikan cerun di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Projek turap jalan besar-besaran di Selangor mulai Mac

AMPANG JAYA, 10 JAN: Kerja penurapan jalan secara besar-besaran di seluruh negeri akan dilaksana mulai Mac depan demi keselesaan pengguna, kata EXCO infrastruktur.

Menurut Ir Izham Hashim, projek dengan kos RM50 juta menerusi Belanjawan Selangor 2023 membabitkan semua jalan bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita akan buat tampalan jalan secara mega kecuali jalan persekutuan di seluruh negeri ini. Kita sasarkan (mula) pada Mac,” katanya selepas meninjau tapak tanah runtuh di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Putrajaya memantau jalan persekutuan yang perlu melalui proses sama berikutan penyelenggaraan sedia ada longgar dan sering menerima aduan pengguna.

“Perkara ini saya sudah sebut kepada menteri dan ketua pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR). Kita kena ada kaedah untuk pastikan jalan persekutuan termasuk lebuh raya dalam keadaan baik.

“Kita kerap kali bercakap hal ini. Rakyat tidak kira jalan mana jalan di Selangor (mereka anggap) Selangor punya. Kita tidak boleh guna bajet untuk jalan persekutuan kerana audit tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Belanjawan tahun ini memperuntuk RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya tahun depan bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berkata sebanyak RM40.98 juta diagih kepada JKR untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi.


Pengarang :