Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Pukul bapa dengan topi keledar, anak mengaku tak bersalah

MELAKA, 19 JAN: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memukul bapanya menggunakan topi keledar.

C Kaviarasan, 27, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapanya, S Chandran, 58, di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 15, Taman Seri Telok Emas pada 7 pagi, 12 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan kerana ia kesalahan pertamanya.

Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis selain tidak mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Februari ini.

– BERNAMA


Pengarang :