Orang ramai membeli barangan keperluan sempena program Jelajah Ehsan Rakyat di Subang Perdana Goodyear Court 1 pada 16 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ramai tunggu jualan murah, sanggup datang dari jauh dapatkan barang dapur

Oleh DIANA ABD WAHAB

SUBANG JAYA, 17 JAN: Sebuah keluarga dari Petaling Jaya bukan saja sanggup menempuh kesesakan tetapi juga perjalanan sejauh 11 kilometer ke Subang Jaya untuk mendapatkan pelbagai barangan asas pada harga murah.

Mohd Yusri Faidz, 41, berkata dia sekeluarga datang ke jualan murah di Court 1, USJ dari Kampung Datuk Harun, Petaling Jaya untuk mendapatkan barangan keperluan dapur pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 yang bermula semalam.

Mohd Yusri Faidz . Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Menurutnya perjalanan yang mengambil masa 15 minit itu berbaloi kerana ia membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarga.

“Kami sampai dan beratur jam 7.30 pagi, ini kali ini pertama kali kami membeli barangan keperluan di sini.

“Teruja kerana harga yang ditawarkan berbaloi dan lebih murah dari pasaran. Ia membantu kami berjimat kerana harga barangan mahal ketika ini,” katanya.

Mohd Yusri yang bekerja sendiri berkata dia melayari Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk melihat lokasi JER selain mendapat maklumat terkini berhubung program berkenaan.

Bagi Saadiah Hussin, 52, JER sangat dinantikan kerana menawarkan barangan dapur berkualiti dan segar pada harga murah.

Saadiah Hussin. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Suri rumah itu berkata dia membeli dua ekor ayam dan dua papan telur berikutan pembelian dihadkan.

“Saya puas hati dapat beli ayam dan telur, kalau nak beli lebih perlu beratur sekali lagi, saya beli ikut had ditetapkan sudah memadai, beri peluang orang lain juga untuk beli barangan yang sukar dapat di pasaran,” katanya.

Sementara itu pengasuh kanak-kanak, Jane Woo, 64, berkata dia mengambil kesempatan membeli barangan dapur sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina Ahad ini.

“Saya beli dua ekor ayam untuk kegunaan harian dan sebagai persiapan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Harga ditawarkan murah disebabkan itu saya ambil kesempatan keluar beli barangan di sini. Saya minta tolong abang jaga anak asuhan sekejap untuk rebut tawaran kerana tak dapat harga begini di luar,” katanya.

Jane Woo. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pekerja p-panggilan Mohd Amirul Nizam Shaari, 23, berkata dia bekerja lewat untuk merebut tawaran harga murah di JER.

“Harga ayam dan telur di JER murah kalau dibandingkan dengan pasar raya atau kedai runcit.

“Keluarga saya ramai sepapan telur dan dua ekor ayam tak cukup untuk seminggu. Jadi beli di sini dapat jimatkan belanja dapur,” katanya.

Mohd Amirul Nizam Shaari. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Jualan murah yang dikelolakan PKPS itu diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac depan selepas mendapat sambutan luar biasa tahun lalu.

Fasa pertama jualan dari September hingga Disember lalu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :