Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rancangan Selangor Pertama persiapan negeri hadapi ramalan ketidaktentuan ekonomi global

SHAH ALAM, 20 JAN: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan pelan pembangunan menyeluruh bagi mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari agenda perancangan lima tahun merangkumi strategi dan inisiatif untuk memacu ekonomi selain menjadikan Selangor sebagai pusat industri, negeri pintar, makmur dan berdaya huni.

Jelasnya beberapa projek RS-1 bakal diperkukuhkan antaranya Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

“Kekuatan kawasan ini akan dimanfaatkan dengan pelbagai insentif bagi menarik pelabur,” katanya di Facebook hari ini.

“Selain itu pembangunan lestari sepanjang Sungai Klang menerusi Selangor Maritime Gateway (SMG), pembangunan semula Stadium Shah Alam, pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey dan pelbagai lagi bakal menyegarkan landskap ekonomi negeri.”

Reka bentuk Stadium Shah Alam yang akan dibangunkan semula dijangka awal tahun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dato’ Menteri Besar berkata RS-1 yang bersifat komprehensif juga memberi peluang untuk Selangor mengukuhkan asas ekonomi.

“Selangor mempunyai pelan jangka panjang membangunkan negeri. Segala perancangan bakal membawa pulangan besar kepada rakyat,” katanya.

Sektor logistik berkembang pesat di Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke Pulau Carey bagi menjana ekonomi negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI

Minggu lalu ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam, Amirudin berkata RS-1 merupakan kemuncak agenda pembangunan negeri yang dirancang beberapa tahun ini.

RS-1 yang dibentang pada Julai tahun lalu melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.


Pengarang :