AGENDAJENAYAH

Rasuah urus jenazah: Dua kakitangan Hospital Kajang dipenjara, denda

SHAH ALAM, 4 JAN: Dua penolong pegawai perubatan di Hospital Kajang dipenjara masing-masing lapan dan enam hari oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima rasuah berkaitan kerja pengurusan jenazah antara 2019 dan 2021.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Redzuan Che Husain, 34, dan Mohd Fariq Ariffin, 34, selepas masing-masing mengaku bersalah atas empat dan tiga pertuduhan pilihan.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua hari bagi setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berturut-turut bermula hari ini.

Mahkamah juga mengenakan hukuman denda keseluruhan RM20,000 atau penjara 24 bulan kepada Mohd Redzuan bagi empat pertuduhan pilihan manakala Mohd Fariq didenda RM11,000 atau penjara 18 bulan (tiga pertuduhan pilihan).

Berdasarkan kesemua pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh yang semasa kejadian bertugas di Unit Forensik, masing-masing menerima suapan RM1,550 dan RM1,000 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun CIMB Bank milik mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui oleh kedua-dua lelaki itu ada kaitan dengan tugas rasmi mereka iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di sebuah cawangan CIMB Bank di Ipoh, Perak dan Petaling Jaya, dekat sini antara 14 Ogos 2019 dan 21 Jan 2021.

Bagi kesemua kesalahan itu, kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

-BERNAMA


Pengarang :