Anggota bomba mencari remaja lelaki yang dilapor lemas di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi pada 23 Januari 2023. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki dilapor lemas di Pantai Batu Layar ditemui

JOHOR BAHRU, 23 JAN: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang hilang selepas mandi-manda di Pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi semalam, ditemukan lemas petang ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 100 meter daripada lokasi terakhir dilaporkan hilang, 5.20 petang tadi.

“Mangsa yang dilaporkan hilang semalam telah ditemui pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan terapung dan menghala ke pantai.

“Keadaan fizikal mangsa ketika ditemui tiada sebarang tanda kecederaan dan lengkap berpakaian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata ibu bapa remaja itu juga telah melakukan pengecaman dan mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat justeru dihentikan 6 petang tadi, katanya.

Terdahulu, operasi itu dimulakan pagi tadi melibatkan 72 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Hussin pada masa sama mengulangi nasihatnya kepada orang ramai yang beriadah di pantai di daerah itu agar lebih peka dan berhati-hati terutama ketika Monsun Timur Laut serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Semalam, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas manakala seorang lagi hilang selepas mandi-manda di pantai itu.

Mereka datang ke pantai itu dengan menaiki motosikal bersama empat rakan lain dari Kluang dan kehadiran mereka diketahui ibu bapa masing-masing.

— BERNAMA

 


Pengarang :