Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kassim melawat Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor pada majlis penyerahan kerja ubahsuai pejabat baharu di ruang legar Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 26 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kos ubah suai pejabat tanah Selangor jimat lebih RM300,000

SHAH ALAM, 27 JAN: Kos pengubahsuaian Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) di tingkat satu Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dapat dijimatkan sebanyak RM330,000.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Lokman Nasir berkata projek berkenaan hanya menelan belanja RM10.7 juta berbanding kiraan sebenar RM11 juta.

Jelasnya, konsep pengubahsuaian yang asalnya pejabat JKR Selangor ialah urban dan korporat mengikut trend terkini serta menunjukkan identiti sebuah jabatan kerajaan.

“Perancangan kerja bersama PTGS bermula penghujung 2019 dan reka bentuk asal projek ini berdasarkan kepada yang dipersetujui di peringkat awal. Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 16 November 2020 manakala tarikh milik tapak pula 14 Disember tahun sama.

“Projek pengubahsuaian ini siap sepenuhnya pada 29 Disember tahun lalu dan dilengkapi dengan sistem pengudaraan yang baik, ia memberi keselesaan kepada pelanggan ketika berurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kerja pengubahsuaian pejabat baharu PTGS semalam. Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.


Pengarang :