EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (kanan) memotong buah melon di Tapak Melon Selangor (MeloSel) Jalan Angkasa Tebuk Pulai Sungai Besar pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM200,000 dibelanja perluas program rumah hijau tanaman Melon Selangor

SABAK BERNAM, 14 JAN: Kerajaan Negeri memperuntuk RM200,000 bagi memperluas program rumah hijau penanaman buah Melon Selangor (MeloSel).

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 4,000 buah MeloSel mampu dihasil sekiranya rumah hijau itu diwujudkan.

“Buat masa ini kita berjaya hasilkan 500 pokok MeloSel bersamaan 500 buah dan anggaran lebih RM25,000 untuk rumah hijau ini.

“Sekarang kita mahu perbanyak lagi (rumah hijau) kerana tanaman MeloSel ini tidak boleh dibuat secara terbuka nanti ia terdedah dengan hujan, asid atau serangga perosak yang mungkin boleh merencatkan penghasilannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan produk agropelancongan Sungai Panjang MeloSel di Ladang Melosel Jalan Angkasa Tebuk Pulau Sungai Besar di sini.

Izham menjelaskan penanaman buah premium itu juga mengambil masa sekurang-kurangnya 60 hari untuk benar-benar ranum dan boleh dipasarkan.

“Justeru, kita perlu susun kaedah penanaman supaya lebih teratur, ditanam secara berperingkat dan hasilnya juga tidak putus. Jadi, setahun sekurang-kurangnya perlu lima kali penanaman MeloSel.

“Yang penting juga adalah kita perlu meneliti kaedah untuk mengekalkan kualiti benih MeloSel ini agar memiliki standard tersendiri,” katanya.

MeloSel merupakan salah satu projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) iaitu antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.


Pengarang :