Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim menyerahkan fail kebun komuniti kepada peserta kebun komuniti pada program Hari Tanpa Kenderaan MPAJ bagi Januari di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 8 Januari 2023. Foto FACEBOOK MPAJ
PBTSELANGOR

RM40,900 menanti pemenang pertandingan kebun komuniti MPAJ

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 9 JAN: Hadiah wang tunai keseluruhan RM40,900 menanti pemenang Pertandingan Kebun Komuniti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi tahun ini.

Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata 10 kategori dipertandingkan iaitu kebun aktif, kebun hijau, kebun ceria, kebun teknologi, kebun 3R, kebun kreatif dan berinovasi, kebun aktif bagi sekolah rendah dan menengah serta kebun famous (khas).

“Johan bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM1,000, tempat kedua (RM700) dan ketiga (RM500). Setiap penyertaan juga akan diberi sagu hati wang tunai RM300 dan hadiah iringan sebagai galakan.

“Bagi hadiah utama RM3,000 untuk johan, tempat kedua (RM2,000), ketiga RM1,000 manakala tempat keempat dan kelima (RM500) setiap pemenang,” katanya ketika merasmikan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ bagi Januari di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah semalam.

Difahamkan, penyertaan yang dibuka sejak Disember tahun lalu telah ditutup dan penjurian akan dijalankan untuk 39 peserta yang mengambil bahagian bermula dari 10 hingga 19 Januari ini untuk mencari pemenang.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata pelaksanaan kebun komuniti pada peringkat awal adalah untuk mengindahkan kawasan tanah terbiar dan hasilnya dapat dijadikan bekalan makanan kepada warga kebun.

Bagaimanapun katanya, terdapat peserta kebun komuniti yang mengambil inisiatif menghasilkan produk sendiri.

“Tahniah diucapkan kepada mereka. Saya juga ingin memberi cabaran kepada peserta lain untuk menghasilkan produk sendiri bagi menjana pendapatan sekali gus dikomersialkan.

“Sekiranya semua kebun dapat menghasilkan produk masing-masing, ini dapat menunjukkan kebun komuniti di MPAJ telah dinaik taraf dan berjaya mengorak langkah ke hadapan,” katanya.


Pengarang :