Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM65.6 juta laksana program saringan, bantuan kesihatan (VIDEO)

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM65.6 juta bagi memastikan kualiti dan perkhidmatan kesihatan awam di Selangor terus dipertingkat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan peruntukan itu merangkumi penganjuran pelbagai program kesihatan yang disediakan kepada rakyat.

“Selangor menyediakan peruntukan tambahan untuk program kesihatan awam dalam memastikan kualiti dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

“Antaranya program-program saringan, program bantuan kesihatan, dan disediakan RM65.6 juta untuk kesihatan awam di Selangor,” katanya menerusi rakaman di Facebook hari ini.

Dalam rakaman itu, beliau menekankan lima perkara utama dalam Belanjawan Selangor 2023, yang antara lain peruntukan RM580 juta bagi mempertahan dan menyemarak syiar Islam.

Amirudin menjelaskan dana tersebut akan digunakan bagi membiayai pengurusan pentadbiran, pembangunan masjid, sekolah dan institusi keagamaan.

Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion pada November lalu, merangkumi RM1.25 bilion untuk mengurus dan RM1.20 bilion bagi pembangunan.

                                                             


Pengarang :