Projek Gerbang Maritim Selangor memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rumah Selangorku, pusat kebudayaan projek terawal di zon ekonomi Gerbang Maritim

SHAH ALAM, 25 JAN: Pembinaan Rumah Selangorku dan pusat kebudayaan antara projek terawal yang akan dilaksanakan di Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG).

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim difahamkan projek bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu dalam peringkat permohonan kebenaran merancang (KM) sebelum mendapat kelulusan.

“Tanah-tanah sepanjang pesisir Sungai Klang digunakan sebagai imbuhan untuk mereka yang terlibat dalam proses ini supaya membangunkan projek yang dapat merancakkan ekonomi dan berkaitan perumahan.

“Projek pertama yang akan dimulakan adalah Rumah Selangorku dan pusat kebudayaan. Projek ini ambil masa lebih panjang memandangkan kawasan sepanjang Sungai Klang agak luas iaitu dari sempadan Kuala Lumpur dan Selangor hingga ke muara Sungai Klang,” katanya kepada Selangorkini.

Ketika pembentangan RS-1 tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sudah mengenal pasti beberapa wilayah yang akan dibangunkan melalui rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia termasuk pembangunan ZPE SMG, Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam.

Sebelum ini, Landasan Lumayan Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemain utama projek SMG tekad memastikan rancangan pembangunan lima tahun negeri berjaya memartabatkan Selangor daripada segi ekonomi, sosial, tadbir urus dan kemampanan.

Di bawah RS-1, syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) itu berperanan menerajui pembangunan infrastruktur dan sosio ekonomi, yang dikenal pasti sebagai salah satu koridor ekonomi.

 


Pengarang :