Sebahagian penumpang dilihat memakai pakaian perlindungan lengkap (PPE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pengesanan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sabah tidak kenakan SOP tambahan kepada pengembara China

KOTA KINABALU, 12 JAN: Sabah tidak akan mengenakan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan kepada pengembara di China ke negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata keperluan mengikut SOP, pengembara dari negara itu hanya perlu mengemukakan ujian PCR yang negatif untuk Covid-19 dan juga divaksinasi seperti yang ditetapkan di negara mereka, bermula Ahad lepas (8 jan).

“Dengan sempadan China dibuka secara rasminya tiga hari lepas pada 8 Jan, kami mengalu-alukan kepada pelawat dari China ke negeri kami semula,” katanya ketika berucap di majlis resepsi Tahun Baharu Cina yang dihoskan Konsol Jeneral China di Kota Kinabalu Huang Shi-Fang di sini malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hajiji berkata Sabah berharap untuk menerima lebih banyak pelaburan dari China pada masa hadapan dengan ekonomi dan kerjasama antara China dan negeri itu yang terus meningkat.

“China telah menjadi jiran kami yang baik. Ketika waktu sukar dan pada ketika pandemik, Kerajaan China menerusi Konsulat China di sini telah memberikan pelbagai bentuk bantuan untuk Sabah, terutamanya bantuan perubatan dan kami amat menghargainya. Hubungan baik antara kedua negeri telah berlangsung dan akan terus menjadi baik,” katanya.

Sementara itu Ketua Menteri berkata di Sabah dan seluruh negara, masyarakat meraikan Tahun Baru China, bukan sahaja dalam kalangan rakyat berbangsa Cina, namun dalam kalangan keseluruhan masyarakat majmuk berbilang kaum dan kebudayaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :