Selangor FC mengikat penyerang dari Colombia Ayron Del Valle bagi saingan Liga Malaysia musim 2023. Foto Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Saingan Liga-M, Gergasi Merah pertaruh penyerang dari Colombia

SHAH ALAM, 28 JAN: Selangor FC hari ini mengumumkan penyerang dari Colombia, Ayron Del Valle menjadi pemain import ketiga skuad Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Pemain berusia 34 tahun berkenaan adalah pemain terbaharu keenam dipilih menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu selepas Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran, Mohamad Faisal Abdul Halim, Noor Al-Rawabdeb dan Rauf Salifu.

Ayron berkata beliau tidak mahu menjanjikan jumlah gol yang akan dijaringkan tetapi berikrar untuk melakukan yang terbaik buat skuad merah kuning itu.

Beliau berkata usianya juga tidak dijadikan sebagai alasan untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam saingan musim ini.

“Usia tidak menjadi masalah kerana saya dari liga yang sangat kompetitif iaitu Liga Colombia. Saya cergas untuk bermain, saya tahu kemahiran dan kapasiti saya,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Stadium Shah Alam di pusat beli-belah SACC Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata Ayron adalah pemain import ketiga baharu yang dipilih bagi menyertai skuad tersebut.

“Sebelum ini, kami baru sahaja menambah dua pemain import dari Jordan iaitu Noor Al-Rawabdeb dan pemain berasal Ghana, Rauf Salifu. Hari ini kami juga perkenalkan Timbalan Jurulatih baharu, Ramon Marcote bagi membantu Tan Cheng Hoe mengemudi Selangor.

“Kami bangga dan gembira dapat membawa pemain dan jurulatih ini bersama Selangor FC. Semua pemain mempunyai rekod dan mampu bermain dengan baik.

“Ramon dibawa ke sini selepas menerima pandangan Cheng Hoe yang pernah bekerjasama dengannya ketika melatih pemain Kedah. Kami harap kerjasama mereka memberi momentum padu,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam kenyataan berasingan melalui portal rasminya hari ini, memaklumkan Ayron memulakan karier profesionalnya bersama Expreso Rojo sejak berusia 18 tahun dan telah beraksi di Liga Colombia selama 13 tahun sejak 2007 sehingga 2019.

“Antara pencapaian terbaiknya adalah memegang takhta penjaring terbanyak Liga Dimayor selama tiga musim berturut-turut.

“Setakat ini, beliau telah menjaringkan 157 gol sepanjang kariernya termasuk 140 gol di Liga Colombia dan tujuh jaringan di Liga Mexico. Ayron juga pernah menjulang trofi juara dua kali di Liga Primera A pada tahun 2017 dan Liga Super musim 2018,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

 


Pengarang :