Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri 2023 di Auditorium MBSA pada 28 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sambutan Tahun Baharu Cina bukti Selangor harmoni, rakyat pelihara perpaduan

SHAH ALAM, 29 JAN: Sambutan Tahun Baharu Cina dianjurkan Kerajaan Negeri membuktikan keharmonian rakyat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meski pelbagai cabaran pernah ditempuh, namun majoriti rakyat kekal memelihara perpaduan.

“Kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama telah menjadi sebahagian daripada warisan sejarah hidup rakyat di negara ini.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran pernah dilalui namun majoriti rakyat membuktikan bahawa perpaduan adalah aset penting yang perlu dipelihara dan sentiasa dipupuk dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau berucap dalam sembah ucapan sempena rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Selangor di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini malam tadi.

Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat ke majlis itu sambil menyaksikan persembahan tarian singa, naga, opera Cina dan pukulan gendang di Auditorium MBSA.

Amirudin menambah acara yang turut berlangsung di Dataran Kemerdekaan khusus untuk orang ramai selaras konsep Selangor Maju Bersama.

“Kerajaan Negeri melalui pelbagai program dan inisiatif dapat sama memberikan manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ itu menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh.

2,000 pengunjung terawal turut ditawarkan angpau berjumlah RM10,000 yang dimasukkan melalui aplikasi e-dompet Wavpay selain cabutan bertuah barangan elektrik bernilai keseluruhan RM3,000.


Pengarang :