EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) dan Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad (kanan) bergambar bersama selepas sidang media mengenai penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2023 di ibu pejabat Invest Selangor Berhad, Shah Alam pada 16 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sambutan Tahun Baharu Cina negeri, angpau RM10,000 menanti pengunjung

SHAH ALAM, 16 JAN: Rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri pada 28 Januari depan menawarkan angpau berjumlah RM10,000 kepada tetamu yang hadir.

EXCO industri dan perdagangan berkata pemberian itu terhad kepada 2,000 pengunjung terawal selain turut menawarkan cabutan bertuah barangan elektrik bernilai keseluruhan RM3,000.

“Tetamu perlu memuat naik aplikasi e-dompet Wavpay dan mengikut arahan diberikan. Pemberian angpau menerusi aplikasi berkenaan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media hari ini.

Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dari jam 3.30 petang hingga 10.30 malam menyasarkan kehadiran 10,000 tetamu.

Majlis besar-besaran yang tidak dianjurkan sepanjang tiga tahun ini susulan penularan Covid-19 diisi pelbagai acara menarik antaranya persembahan tarian singa, opera tradisi, wayang kulit, pertandingan kaligrafi selain kemudahan gerai jualan.

Jelas Chang Khim, program bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulitiwa’ itu turut menampilkan persembahan kebudayaan melibatkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

Sementara itu, beliau berkata bagi memudahkan pengunjung hadir, Bas Smart Selangor laluan SA01 dan SA02 disediakan sehingga 10.30 malam.

“Tetamu juga boleh menggunakan tapak parkir kenderaan berbayar di pusat beli belah SACC, Plaza Alam Sentral, bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan bersebelahan Menara Maybank ,” katanya.


Pengarang :