Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan kesihatan percuma diterus Februari, bantu penduduk kesan penyakit

SHAH ALAM, 17 JAN: Program pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring diteruskan bermula awal Februari ini, kata ahli penasihat kesihatan awam negeri.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata inisiatif itu membantu pengesanan penyakit lebih awal untuk rawatan bersesuaian termasuk keperluan menghantar ke hospital dapat diberi seawal Jun.

Dr Mohammad Farhan Rusli

“Projek rintis yang dianjur tahun lalu sudah tamat. Sambutan amat menggalakkan dan kita dapati kesannya sangat positif kepada tahap kesihatan penduduk.

“Kali ini kita tambah baik beberapa prosedur selain turut menyediakan saringan penyakit lain yang dilihat perlu berdasarkan program tahun lepas. Kita percaya program kali ini sangat baik untuk kesihatan masyarakat,” kata kepada SelangorKini.

Program dari Mei hingga September tahun lalu melibatkan peruntukan RM3.4 juta menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Sepanjang tempoh itu lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :