Aktiviti sekitar majlis Ponggal perpaduan Sentosa di PKM DUN Sentosa pada 29 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Sasar 500 penduduk daftar skim insurans percuma setiap bulan

KLANG, 30 JAN: Seramai 500 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa disasar mendaftar Skim Insurans Am Selangor (INSAN) setiap bulan.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata pihaknya akan mempergiat hebahan kepada orang ramai berhubung polisi insurans kemalangan diri berkumpulan percuma itu.

“Setakat ini lebih 1,000 penduduk berusia 30 hari hingga 80 tahun sudah mendaftar inisiatif ini sejak dibuka Oktober tahun lalu.

“Kita akan meminta badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk supaya menguar-uarkan lagi skim ini kerana ia program yang sangat baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pada sambutan Ponggal Perpaduan Sentosa yang dihadiri lebih 300 masyarakat berbilang bangsa di perkarangan pusat khidmat masyarakat DUN Sentosa di sini semalam.

Gunaraj menambah pihaknya juga akan bekerjasama dengan NGO bagi membantu penduduk memohon skim terbabit secara dalam talian.

“Mereka akan datang ke PKM dan dilatih supaya boleh membantu orang ramai mendaftar INSAN,” katanya.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada enam juta rakyat Selangor.

Syarat kelayakan pemohon adalah pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor, kad pengenalan kod Selangor atau pengundi di Selangor.

Pendaftaran juga boleh dibuat melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery dan untuk maklumat lanjut, layari programinsan.com.


Pengarang :