Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail (depan) berswafoto bersama peserta program Sekolah Politik Ampang di Bilik Gerakan Parlimen Ampang pada 23 Januari 2023. Foto Facebook Rodziah Ismail
ADNEXCOSELANGOR

Sekolah politik didik aktivis nilai murni, reformasi sebenar

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Seramai 41 aktivis menyertai program Sekolah Politik Ampang kelmarin bagi mendedahkan golongan itu kepada politik yang menekankan nilai murni dan ihsan.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata program itu turut menitikberatkan kemahiran insaniah melalui aspek pengurusan diri dan organisasi, komunikasi efektif dan kepimpinan.

“Tujuan utama untuk menerangkan budaya politik nilai dengan mempraktikkan nilai-nilai murni dan ihsan serta reformasi politik yang sebenar. Hasrat kita untuk menyemai wawasan dan membangunkan aktivis selari dengan hasrat dan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Batu Tiga menjelaskan sebanyak 15 modul diajar meliputi masing-masing tujuh sesi teori dan amali serta ujian pada akhir program.

Rodziah turut menjangka program tersebut diadakan setiap minggu bergantung kepada permintaan ramai namun hanya terhad untuk Parlimen Ampang setakat ini.

“Ada jemputan dari Parlimen kawasan lain juga tetapi buat masa ini belum dapat (dianjurkan) lagi kerana kekangan masa,” katanya lagi.

Selain Rodziah, acara sehari itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra Selangor Zahariman Ariffin sebagai penceramah.


Pengarang :