EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bersalaman bersama bekas atlet negeri pada program Ceria Atlet Selangor 2023 di Kampung Bahagia Bukit Lagong, Sungai Buloh pada 19 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Selangor agih hampir RM800,000 bantu bekas atlet kurang bernasib baik

SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM800,000 bagi membantu ratusan bekas atlet Selangor yang kurang berkemampuan mendapatkan kehidupan lebih selesa.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata usaha menerusi program Ceria Atlet Selangor (CAS) itu juga bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang pernah mengharumkan nama negeri.

Beliau berkata inisiatif yang diagih berperingkat sejak 2020 memanfaatkan 200 atlet berpendapatan rendah untuk membina atau membaiki kediaman dan membeli alatan rumah.

“Untuk tahun ini, kita serahkan sumbangan kepada 45 bekas atlet termasuk ada yang menerima milikan tanah serta bantuan rumah rakyat,” katanya berucap pada majlis pelancaran CAS di sini semalam.

Mohd Khairuddin memaklumkan penerima antara 700 atlet Selangor yang berdaftar bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan baki akan dikesan untuk mendapat bantuan.

“Kita akan kesan mereka dan beri bantuan sekiranya diperlukan untuk pastikan kebajikan mereka terjamin. Ini juga petunjuk kepada atlet muda bahawa mereka tidak akan dipinggirkan kelak. Kita berusaha mendekati dan membantu mereka sebaik mungkin,” katanya lagi.

Selain Yakeb, program tersebut turut mendapat kerjasama beberapa agensi antaranya Majlis Sukan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.


Pengarang :