EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap pada majlis ramah mesra bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung sempena Tahun Baharu Cina di Klang Executive Club, Klang pada 8 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor arah PBT semak semula SOP pusat kurungan haiwan

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diarahkan untuk menyemak dan mengemas kini tatacara operasi piawai (SOP) pusat kurungan haiwan bawah pentadbiran masing-masing.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah itu dapat memastikan kebajikan haiwan kurungan terpelihara selain melihat semula keperluan menaik taraf kemudahan tersebut.

“Semakan SOP ini akan dibentang kepada Kerajaan Negeri agar penambahbaikan dibuat termasuk melihat cadangan ke arah SOP yang lebih seragam serta keperluan naik taraf pusat kurungan dapat dibincangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjunjung kasih keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor yang berdukacita terhadap keadaan haiwan di pusat kurungan yang tular baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri komitmed dalam memastikan haiwan-haiwan jagaan di pusat kurungan di Selangor berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara,” kata Sze Han lagi.

Semalam, Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan semua PBT untuk menyemak semula SOP di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka bagi memastikan haiwan tersebut tidak teraniaya.


Pengarang :