Orang ramai menyaksikan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor cadang wujudkan geran pendidikan sukan golf

PETALING, 8 JAN: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan geran pendidikan kepada pemain golf remaja yang mahu melanjutkan pengajian berkaitan sukan itu di luar negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri berkata peruntukan geran berjumlah RM100,000 seorang itu bagi memberi peluang kepada pemain mengasah bakat dalam sukan tersebut.

“Kita bersetuju untuk mewujudkan geran kepada mana-mana pemain muda (anak Selangor) yang mahu melanjutkan pengajian berkaitan golf di luar negara.

“Selangor sahut cabaran ini supaya kita dapat melahirkan lebih ramai pelapis yang berpotensi untuk negara,” kata Dato’ Haris Kasim.

Beliau ditemui pada Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menetapkan beberapa kriteria tertentu bagi memberi peluang kepada pemain remaja itu melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Ada kriteria tertentu dan tidak semestinya yang johan sahaja akan dipilih sebaliknya pemain itu perlu ada kekuatan dan layak untuk dihantar,” katanya.

Terdahulu, seramai 105 pemain remaja berusia 12 hingga 18 tahun berentap dalam kejohanan berkenaan yang membuka tirai 5 Januari hingga 8 Januari.

Kejohanan anjuran UUM International School Melaka (UUMISM) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) membabitkan pemain dari Malaysia, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Indonesia bagi kategori berkumpulan.

Manakala kategori individu disertai pemain dari India, Kanada, Hong Kong, China, Jepun termasuk Malaysia.

Pemain berpasukan lelaki negara muncul juara kejohanan itu dengan menumbangkan pasukan Korea Selatan dengan mengumpul 683 mata keseluruhan.


Pengarang :