SHAH ALAM, 28 JAN: Tiga pemain import baharu memperkuatkan Selangor FC pada saingan musim ini dalam usaha pasukan tersebut memburu lebih banyak kejuaraan.
Gergasi Merah mengikat pemain pertahanan Jordan Noor Al-Rawabdeb serta dua penyerang Rauf Salifu dari Ghana dan Ayron Del Valle (Colombia).

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor Dr Johan Kamal Hamidon berkata ketiga-tiga pemain diperkenalkan hari ini bersama timbalan jurulatih Ramon Marcote.
“Kita gembira dapat membawa pemain dan jurulatih ini bersama Selangor FC. Semua pemain mempunyai rekod dan mampu bermain dengan baik. Kita yakin mereka mampu bantu Selangor raih banyak kejuaraan.
“Ramon dibawa ke sini selepas menerima pandangan ketua jurulatih (Datuk Tan Cheng Hoe) yang pernah bekerjasama dengannya ketika melatih Kedah. Kita harap kerjasama mereka memberi momentum padu,” katanya.
Beliau ditemui selepas program Meet & Greet sempena Majlis Hari Jersi Selangor di SACC Mall hari ini.
Skuad bimbingan Cheng Hoe turut diperkuat pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim selain Ahmad Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran.
