Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) berkenan menyampaikan piala kepada johan kategori individu Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor hasrat buka akademi golf, latih pemain remaja

PETALING, 9 JAN: Selangor bercadang mahu mewujudkan pusat akademi di padang golf di negeri ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Haris Kasim berkata penubuhan akademi itu bertujuan memberi latihan kepada pemain remaja.

“Di Selangor ada lebih 100 padang golf, kita cadang mahu buat (padang golf) pusat akademi untuk pemain berusia bawah 18 tahun menimba ilmu berkaitan sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor di sini semalam.

Turut berkenan hadir merasmikan majlis Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama EXCO Sukan, Khairuddin Othman.

Orang ramai menyaksikan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Haris berkata kejohanan yang disertai 10 negara itu menerima sambutan menggalakkan dan pihaknya setuju mahu menjadikan ia acara tahunan.

“Kita cadang mahu menjemput lebih banyak negara pada tahun akan datang dan mana-mana yang berjaya akan dijemput sertai Kejohanan Golf Selangor Masters,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim bercakap kepada Media Selangor selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, 105 pemain remaja berusia 12 hingga 18 tahun berentap dalam Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 yang membuka tirai dari 5 hingga 8 Januari 2023.

Kejohanan anjuran UUM International School Melaka (UUMISM) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) membabitkan pemain dari Malaysia, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Indonesia bagi kategori berkumpulan.

Kategori individu disertai pemain dari India, Kanada, Hong Kong, China, Jepun termasuk Malaysia.

Pasukan golf remaja lelaki negara kumpulan A muncul juara dengan menumbangkan pasukan dari Korea Selatan dan mengumpul 683 mata keseluruhan.

Bagi kategori berpasukan wanita pula dimenangi Korea Selatan dengan masing-masing berjaya membawa pulang trofi Raja Muda Selangor.


Pengarang :