Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika sesi sidang media Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor jadi penaja utama kejohanan golf remaja antarabangsa

PETALING JAYA, 5 JAN: Seramai 105 pemain remaja berentap dalam Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor yang membuka tirai hari ini hingga 8 Januari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor bersetuju menjadi penaja utama kejohanan yang bertujuan menggilap bakat muda dalam sukan terbabit.

“Saya tidak sabar melihat persaingan hebat pemain di padang. Saya harap mereka mengambil peluang ini untuk mempamerkan kemahiran dan kehebatan masing-masing.

“Pada masa sama belajar antara satu sama lain, menjalin dan mengeratkan persahabatan selain mengukuhkan semangat berpasukan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Pasukan Selangor dalam Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Kejohanan anjuran UUM International School Melaka (UUMISM) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) membabitkan pemain berusia 12 hingga 18 tahun dari Malaysia, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Indonesia bagi kategori berkumpulan.

Manakala kategori individu disertai pemain dari India, Kanada, Hong Kong, China, Jepun termasuk Malaysia.

Sementara itu, Mohd Anwar berkata pihaknya bangga dengan komitmen Kerajaan Selangor dalam mempromosikan sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Justeru kita menjangkakan persaingan menarik antara peserta kerana negara yang mengambil bahagian menurunkan pemain remaja terbaik mereka.

“Diharap acara ini dianjurkan setiap tahun dan menjadi pembuka tirai bagi kejohanan golf lain,” katanya yang turut berterima kasih kepada penaja antaranya Sistem Penyiaran Seoul (SBS), F&N serta Crestlink.

Juara pasukan lelaki dan wanita bakal membawa pulang trofi Raja Muda Selangor. Juara lelaki keseluruhan pula akan mendapat slot ke Kejohanan Golf Selangor Masters, manakala Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia ke-119 (wanita).

UUMISM turut menawarkan biasiswa melanjutkan pengajian kepada juara dan naib juara kejohanan masing-masing bernilai RM70,000 dan RM50,000.

Kejohanan selama empat hari dirakam melalui TV Golf SBS dari Korea Selatan selain disiar di negara terbabit, Filipina, Vietnam dan Malaysia.


Pengarang :